Saturday, April 11, 2009

Kenangan Yang Tinggal

Sebuah dewan..

Jam menunjukkan 8.15 pagi. Hatiku masih tidak tenteram, tidak sabar menanti. Aku duduk sopan bersama seorang kawan yang baru kukenal. Tidak banyak yang kami bualkan. Sibuk melayan perasaan masing-masing. Mungkin dia juga sama sepertiku. Membawa hati yang resah bersama ke dewan kuliah yang sejuk seperti ini. Entah siapa pula yang datang kali ini. Aku menggambarkan seorang lelaki bertali leher dan memakai blazer. Berwajah menarik. Sepanjang seminggu yang lalu aku rasakan inilah duniaku.. Dunia kampus katakan. Kadangkala aku bangga menjinjit beg berisi fail dan kertas kosong. Penampilan yang kemas dengan baju kurung yang memikat. dileher ku sangkut kad pelajar, kad kolej hatta kunci bilikku yang bernombor k13c:307! Skema.

8.30 pagi..

Seorang wanita muncul di balik pintu bersama sebuah senyuman yang sukar ditafsirkan.. Dua jam bersamanya kami dibawa mengenali semula siapa kami, dari mana dan ke mana seharusnya kami melangkah selepas ini. Aku puas, tergamam dan tersentak kembali dari mimpi-mimpi bulan maduku di kampus. Bahawasanya aku menjijit bukan sekadar beg, fail dan berpenampilan menarik. Umpama sekuntum bunga mawar, baunya harum dan menarik. Menyentuhnya tidak semudah menikmati baunya... Kami mula berpusu-pusu mendapatkan maklumat, menyiapkan kerja rumah. Tekun.





April 2009...

“Anak dagang jangan meninggi diri".... Itu antara bait-bait lagu En. Zubir yang sangat mengesankan. Bait lagu itu boleh menghidupkan semula jiwa anak dagang yang hampir mati keletihan di padang perantauan yang gersang. Rasa mahu menumpahkan air mata tapi kutahan semahunya. Malu pula nanti. Perempuan, memang selalu jadi sentimental. Firdaus and the geng pula menanti apa saja yang lucu untuk diketawakan. Tak ke parah nanti. Semuanya melepaskan 'gila' yang selama ini terpendam. Itu kata En. Zubir... Entah kenapa, serasa mahu menitiskan air mata kerana mengenangkan semula betapa kenangan dan persahabatan akan tertinggal di sini.

0 comments: